PETIKAN MEDIA

Festival Wau Antarabangsa Jadi Destinasi Pelancongan

Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Majlis Pelayang Malaysia, Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Daerah Tumpat telah menganjurkan Festival Wau Antarabangsa Kelantan 2016 Sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 pada 2 hingga 4 Jun lepas, di Pantai Geting, Tumpat.
Menurut Hassan Mohamood, Kerajaan Negeri menggalakkan industri pelancongan Kelantan menjadi satu daya tarikan utama para pelancong samada tempatan mahupun antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini
Beliau ditemui ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai kategori
Festival Wau Antarabangsa Kelantan 2016 kali ke-34 ini melibatkan penyertaan antarabangsa seramai 31 orang peserta terdiri dari 13 buah negara iaitu Australia, Brunei, Kemboja, China, Jerman, Indonesia, Curacao, New Zealand, Singapura, Sweden, Thailand, Ukraine dan Amerika Syarikat. Manakala penyertaan kebangsaan melebihi 120 peserta yang terdiri daripada peminat wau dan layang-layang di negara ini.
Pesta Wau Bercahaya Antarabangsa turut diadakan pada malam 3 Jun, dan johan keseluruhan kebangsaaan bagi Festival Wau Antarabangsa Kelantan ini dimenangi oleh Negeri Kelantan secara tidak langsung berjaya mengekalkan momentum sebagai juara bertahan menjadikan ianya kemenangan 7 kali berturut-turut semenjak tahun 2010.


MUZIUM WAU
Oleh Noriham Ahmad/Mohd Hussin Abdullah/Shikh Zailani Shikh Yusof/Wan Noriza Jaafar/
NorDianah Mohd Zain/Nur Farkhirah Zainal Abidin (Tumpat)
TUMPAT, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Pengajuran Festival Wau Antarabangsa di Malaysia bermula di Tumpat Kelantan seawal tahun 80an. Bermula dari itu, setiap tahun pantai Sri Tujuh Tumpat menjadi fokus antarabangsa bagi acara bertaraf dunia ini yang menarik penyertaan pelbagai negara.
Menjelang  penghujung tahun 90an, Festival Wau Antarabangsa Tumpat mula mengalami kemerosotan dari segi penganjuran dan penyertaannya. Ini disebabkan perubahan pentadbiran Negeri Kelantan dan saingan daripada Festival Layang-Layang di Pasir Gudang, Johor yang lebih banyak menarik penyertaan dari luar negara.
MUZIUM WAU2
Walau bagaimanapun, permainan wau berkait rapat dengan budaya rakyat di Kelantan. Sejak berkurun ia diangkat sebagai salah satu khazanah tradisi negeri ini yang setanding dengan  tradisi lain, seperti Mak Yong, Dikir Barat, Gasing dan Wayang Kulit.
Bagi memastikan tradisi ini tidak pupus ditelan zaman, sebuah Muzium Wau telah dibina pada 2011 di Pantai Sri Tujuh bagi memelihara khazanah dan tradisi budaya tempatan. Selari dengan inisiatif tersebut, bermula pada tahun yang sama, Pesta Wau Antarabangsa Tumpat dihidupkan semula.
MUZIUM WAU 1
Menurut seorang pegawai muzium, Azuha Ibrahim, 48, pada penghujung Mei setiap tahun pesta wau yang diadakan di Pantai Genting menarik penyertaan dari dalam dan luar negara, antaranya Australia, Belgium, Brunei, China, dan Indonesia.
“Pantai Sri Tujuh diangkat sebagai tapak pembinaan Muzium Wau kerana kawasannya yang strategik dan berhampiran dengan lokasi pesta wau antarabangsa yang diadakan setiap tahun.”
“Muzium Wau ini terbina dari cetusan idea Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dengan tujuan memelihara tradisi yang menjadi kebanggaan negeri, selain mengetengahkan seni pembuatan wau yang merupakan salah satu cabang kesenian orang Melayu di negeri ini,” katanya.
Antara jenis wau yang dipamerkan di sini termasuk Wau Bulan, Wau Kekek, Wau Puyuh, Wau Kucing, Wau Jala Budi dan wau rasmi setiap negeri. Muzium ini dibuka setiap hari, kecuali Jumaat. Pelawat dikenakan caj RM2 bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.
Petikan malaysiaaktif.com